Perbahasan YB Wong Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semasa Usul Pengisytiharan Harta (Mandatori) Semua Ahli Parlimen pada 1-7-2019
Video here
Video here
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Saya ingin turut menyertai perbahasan usul pengisytiharan aset Ahli-ahli Parlimen secara mandatori.
Tuan Yang di-Pertua, saya antara pemegang rekod pengisytiharan harta. Kenapa saya kata saya pemegang rekod pengisytiharan harta? Saya bukan harta terbanyak dan bukan harta terkurang tetapi saya sudah mengisytiharkan harta secara terbuka sebanyak empat kali.
Pada tahun 2012, Kerajaan Pakatan Negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta. Ahli-ahli EXCO yang pada hari ini, bekas Timbalan Ketua Menteri, Ahli Parlimen Nibong Tebal mengisytiharkan bersama saya. Ahli Parlimen Tanjong yang pada masa itu Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang kanan, hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang, mengisytiharkan harta bersama saya juga. Bekas Ketua Menteri, hari ini Ahli Parlimen Bagan, Yang Berhormat Menteri, mengisytiharkan harta bersama saya, tahun 2012. Tujuh tahun lalu, Kerajaan Pakatan Negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta secara terbuka.
Tuan Speaker,
Saya telah membuat pengisytiharan harta secara terbuka. Kita telah membuat pengisytiharan harta secara terbuka. Saya masih ingat, surat khabar telah memaparkan satu muka surat khas untuk pengisytiharan harta. Butiran-butiran kita terpapar dalam surat khabar, muka kita terpapar dalam surat khabar. Sudah empat kali saya membuat pengisytiharan harta. Tiga kali apabila sebagai EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebagai ADUN Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan satu kali tahun lalu sebagai Ahli Parlimen penggal ini dan sudah empat kali.
Alasan-alasan yang dikemukakan kawan-kawan pembangkang semua adalah tidak berasas sama sekali. Semua adalah cuba delaying. Pembangkang menggunakan helah berdolak-dalik. Saya cukup kecewa dengan wakil rakyat PAS yang duduk dalam Dewan ini. Tahu atau tidak? Siapakah wakil rakyat PAS yang pertama kali membuat deklarasi harta secara terbuka? Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Yang Berhormat Mohd Salleh Man. PAS, membuat deklarasi harta di Pulau Pinang dan hari ini Ahli Parlimen PAS tidak mahu, enggan dan juga gelisah, takut dan tidak menyahut cabaran.
Tuan Speaker,
Ahli EXCO jadi Ketua Menteri, Ahli Parlimen Nibong Tebal masih berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, Ketua Menteri jadi Menteri Kewangan dan saya jadi Ahli Parlimen pula. Lebih berjaya dalam kerjaya politik. Siapakah pembangkang-pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang enggan membuat deklarasi harta? Manakah mereka sekarang? Mereka kecundang dalam pilihan raya, mereka bersara. Dalam 11 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang dipegang oleh pembangkang pada tahun 2008, hari ini 11 kerusi hanya tinggal tiga sahaja. Saya rasa cukup kecewa dengan pembangkang yang hadir pada hari ini, enggan membuat deklarasi harta. Inilah Malaysia lama yang tidak dapat menyahut cabaran baru.
Dalam competition, dalam persaingan politik, apabila parti sebelah membuat deklarasi harta, parti sebelah sana tidak menyahut cabaran. Oleh itu dalam mata rakyat, mereka telah timbul persepsi, tanda tanya kenapa wakil rakyat ini tidak ingin menyahut cabaran deklarasi harta secara terbuka, padahal sebelah sini sudah membuat deklarasi harta. Itulah nasib pembangkang-pembangkang di DUN Pulau Pinang kerana mereka enggan menyahut cabaran itu.
Berbagai-bagai technicality, rang undang-undang dan sebagainya tetapi itu technicality, rakan-rakan sekalian. Saya cukup gembira apabila sebelah sana enggan, tidak ingin membuat deklarasi harta. Saya cukup gembira. Saya tahu persepsi rakyat akan menghukum pembangkang di sebelah sana kerana enggan membuat deklarasi harta. Kamu boleh membuang usul ini.
Tuan Speaker,
Wakil rakyat pembangkang hari ini enggan membuat deklarasi harta. Mereka boleh walk out, boleh memilih neutral, tidak membuat undi itu tidak saya kisah. Itu hanya satu usul sahaja. Apa yang pembangkang perlu berhadapan dengan rakyat ialah kenapa enggan membuat deklarasi harta secara terbuka. Kerajaan Pulau Pinang telah melaksanakan 10 langkah integriti, adalah antaranya yang menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka. Semua EXCO dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri, tender terbuka dan sebagainya dan kita menang lebih besar dalam pilihan raya.
Pihak sebelah yang enggan menyertai pengisytiharan harta ini, mewakili satu cara politik yang lama.
Tuan Yang di-Pertua, sejak skandal 1MDB dibongkar, orang ramai telah meminta akauntabiliti dan piawaian etika Ahli-ahli Parlimen ditingkatkan. Wakil rakyat yang terlibat dalam skandal 1MDB tiada tempatnya di dalam Dewan yang mulia ini. Mereka hendaklah dihadapkan ke muka pengadilan. Kawan-kawan sebelah boleh menidakkan usul itu, boleh keluar, walk out from the Dewan, mencipta kecoh dan sebagainya.
Tuan Speaker,
Usul ini terpulanglah kepada pembangkang, tetapi apalah pokoknya pengisytiharan harta secara terbuka. Konsep terbuka perlu menjadi tunjang kepada politik Malaysia yang baharu. Sama-sama kita sertai politik Malaysia Baharu.
Saya mohon menyokong Tuan Yang di-Pertua
No comments:
Post a Comment